View My Stats

Monday 22 April 2013

Pendakian Gunung Belumut, Kluang, Johor


PENDAKIAN GUNUNG BELUMUT, KLUANG, JOHOR
4.5.2012 HINGGA 5.5.2012 (JUMAAT – SABTU)

Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan AADK kembali meneruskan aktiviti pendakian setelah program terakhir iaitu pada bulan Januari 2012. Ini untuk memberi laluan kepada Sukan Antara Rumah Ibu Pejabat AADK tahun 2012. Program pendakian pada kali ini ialah untuk menawan puncak Gunung Belumut. 

Gunung Belumut terletak di daerah Kluang, Johor dan dibawah bidang kuasa Pejabat Hutan Johor Tengah. Gunung ini mempunyai ketinggian 3,313 kaki atau 1009 meter dari aras laut. 

Pendaki hendaklah memohon permit dengan menulis surat ke Pejabat Hutan Daerah Johor Tengah, 86000 Kluang, Johor. No. telefon : 07-7725944 sebelum dapat mendaki gunung Belumut. Selepas itu pejabat Hutan Daerah Johor Tengah akan menghantar surat kebenaran untuk mendaki Gunung Belumut. Boleh tanya juga dengan mereka perkhidmatan GUIDE dan mereka akan bagi contact nombor GUIDE Gunung Belumut.

Seramai 26 orang peserta yang menyertai program pada kali ini (15 lelaki dan 11 wanita) dan dikenakan bayaran sebanyak RM150.00 dari Pejabat Hutan Johor Tengah. Kami juga menyewa chalet yang terdapat di dalam kawasan Hutan Lipur Gunung Belumut.

Di kawasan kaki gunung ini merupakan hutan lipur dan ramai orang awam yang datang pada hujung minggu bersama keluarga untuk beriadah dengan mandi air terjun dan anak sungai yang cantik dan bersih. Gunung Belumut juga sering didaki oleh pendaki-pendaki dari negara Singapura. Kawasan Gunung Belumut pernah ditutup untuk sebarang aktiviti pendakian sedikit masa dulu kerana pernah dikesan terdapat tanda-tanda harimau yang berkeliaran di kawasan tersebut. Kawasan ini dibuka semula setelah pihak Perhilitan menyatakan kawasan ini adalah selamat untuk pendakian.

Pada 4.5.2012 (Jumaat), semua peserta berkumpul di Ibu Pejabat AADK pada jam 6.00 petang.. Setelah memeriksa kelengkapan dan peralatan, semua peserta bertolak ke Pusat Rekreasi Gunung Belumut pada jam 3.30 petang. Peserta berhenti sembahyang dan makan di R&R Seremban. Ada peserta yang menggunakan peluang ini untuk membeli barangan keperluan yang lain.

Tepat jam 10.00 malam semua peserta melaporkan diri di Balai Polis Kampung Gajah dengan meninggalkan senarai nama dan nombor telefon masing-masing bagi memaklumkan aktiviti pendakian. Selepas itu peserta terus menuju ke Pusat Rekreasi Gunung Belumut dan selamat tiba pada jam 11.00 malam. Semua peserta melaporkan diri kepada renjer yang bertugas.

Selepas itu semua peserta berehat dan tidur di dalam chalet yang disewa dari Pejabat Hutan Johor Tengah. Kawasan hutan lipur yang agak damai dengan diterangi bulan mengambang penuh. Tiba-tiba cuaca berubah dan hujan turun dengan agak lebat pada malam itu. Semua peserta tidur bagi mendapatkan rehat yang cukup untuk memulakan pendakian pada hari esok.

Hari kedua 5.5.2012 (Sabtu), semua peserta bangun seawal jam 6.00 pagi untuk sembahyang subuh dan kemas diri. Selepas itu semua peserta bersarapan pagi yang disediakan oleh pejabat renjer dan kami telah tempah awal sarapan tersebut. Hujan renyai pada pagi itu menambahkan lagi kedinginan kepada para peserta. Tepat jam 8.20 pagi semua peserta berkumpul di hadapan pejabat renjer untuk sesi taklimat daripada GUIDE. 2 orang guide yang akan menunjuk arah semua pendaki dalam program ini. Bayaran GUIDE ialah sebanyak RM20.00 seorang. Untuk mendapatkan GUIDE boleh tanya pejabat Hutan Daerah Johor Tengah.

Selepas selesai taklimat, pendakian Gunung Belumut bermula pada jam 8.30 pagi. Pendaki akan melalui 4 check point sebelum sampai ke puncak Gunung Belumut. Jarak ke puncak adalah lebih kurang 6.6 km dari kaki gunung. Pada permulaan pendakian, trek pendakian agak mendatar sehingga ke check point 2. Dari check point 2 hingga ke check point 4, trek pendakian mula mencanak, Pendaki-pendaki akan melalui trek pendakian 80 hingga 90 darjah dan agak mencabar ketahanan mental dan fizikal pendaki.

Semua pendaki sampai di check point 4 iaitu kawasan yang lapang di puncak gunung Belumut. Semua pendaki makan tengahari di sini dengan nasi dan lauk yang telah siap dibungkus oleh pejabat renjer. Selesai makan tengahari, semua peserta meneruskan trek pendakian terakhir sebelum sampai di puncak Gunung Belumut tepat jam 1.30 petang iaitu kira-kira 5 jam pendakian.

Terdapat sebuah batu besar di puncak Gunung Belumut dan pendaki akan dapat menyaksikan permandangan yang terbentang luas di depan mata. Pendaki akan dapat melihat empangan air Kluang iaitu kawasan tadahan air yang menyalurkan air bersih ke negara Singapura.

Selepas berehat dan bergambar kenang-kenangan, pendakian turun dari puncak gunung Belumut bermula pada jam 2.30 petang. Semua pendaki selamat tiba di kaki gunung Belumut pada jam 5.30 petang. Keseluruhan jarak pendakian ialah sejauh 13.2 km dan mengambil masa hampir 9 jam untuk pendakian naik dan turun. Sampai saja di kaki gunung Belumut, peserta mengambil kesempatan untuk mandi anak sungai yang sejuk dan bersih. Selepas kemas diri dan sembahyang, semua peserta bertolak balik ke Ibu pejabat AADK pada jam 7.00 petang dan sampai pada jam 12.30 tengah malam.
Program pendakian ini semakin mendapat sambutan yang baik dari pegawai dan kakitangan AADK. Walaupun terdapat peserta yang baru pertama kali menyertai program pendakian ini, pujian harus diberikan kepada mereka di atas semangat tinggi dan tidak mudah putus asa dalam menawan puncak Gunung Belumut yang agak mencabar ini. 

Tanpa kekuatan mental dan fizikal dari semua pendaki, adalah agak susah untuk menakluk puncak Gunung Belumut dengan pendakian dilakukan secara DAYPACK. Apa-apa pun ucapan tahniah kepada semua peserta yang begitu komited, saling berkerjasama dan tolong menolong dalam menawan puncak gunung Belumut ini ….SYABAS semua.

6 comments:

  1. Sharifah..gunung ini ada campsite iaitu di pertengahan gunung dinamakan campsite Lapang tapi tak ada punya air, gunung ini boleh didaki secara daypack...selamat mendaki....

    ReplyDelete
  2. nak tanya, gunugn belumut ni boleh ke kita campsite satu malam di kaki gunung ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. En. Khairul...boleh camping di kaki Gunung Belumut..banyak kemudahan di sana...boleh hubungi Pejabat Hutan Daerah Johor Tengah, 86000 Kluang, Johor. No. telefon : 07-7725944 untuk pertanyaan

      Delete
  3. boleh saya tahu pembayaran untuk pendakian secara daypack berapa ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Farah...boleh hubungi Pejabat Hutan Daerah Johor Tengah, 86000 Kluang, Johor. No. telefon : 07-7725944 untuk pertanyaan...boleh tanya juga perkhidmatan GUIDE Gunung Belumut..

      Delete